JOM Melancong (Melaka)




Cuti-cuti Malaysia lagi Yeayyy :)) untuk kali ini saya akan paparkan aktiviti saya ketika berjalan-jalan di Bandaraya Bersejarah MELAKA. Ermm, dah banyak kali ke sana namun tidak pernah saya jemu untuk melihat tinggalan sejarah disana. JOM ke Melaka  >>>>



Mercu tanda apabila memasuki kawasan Banda Hilir.Ini dinamakan Bangunan Stadthuys.
(Diambil dari Wikipedia)
Stadthuys ("dewan perbandaran" dalam bahasa Belanda) ialah sebuah binaan bersejarah terletak bersebelahan dengan Gereja Christ di Jalan Laksamana, Melaka, Malaysia. Bangunan ini dibina pada tahun 1650 sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan Timbalan Gabenor, di mana struktur bangunan ini melambangkan seni rekabentuk Belanda yang halus.
Bangunan ini juga mempunyai catatan sejarahnya di bidang pendidikan, yang mana pada abad ke-19 ketika pemerintahan Inggeris, sebuah sekolah yang dikendalikan oleh golongan paderi dikenali sebagai Malacca Free School dibina di perkarangan Bangunan Stadthuys. Ketika itu pendidikan sekolah diberikan percuma oleh Inggeris. Bagaimanapun kebanyakan pelajar di sekolah itu terdiri daripada anak-anak golongan Cina yang kaya.
Catatan sejarah menunjukkan sepucuk surat yang bertarikh 19 April 1825, menyatakan betapa perlunya diwujudkan sebuah sekolah Inggeris di Melaka. Surat itu dikirimkan kepada majlis perbandaran yang ditandatangani oleh wakil gereja, Encik J. Humprey, J.W. Overee dan A.W. Baumgarten. Akhirnya sekolah itu dibuka pada 7 Disember 1826 dengan hanya 18 orang pelajar. Pengetua Malacca Free School yang pertama ialah Encik T.H. Moore.
Tidak lama kemudian bilangan pelajar di sekolah itu meningkat sehingga 200 orang. Waktu belajar bermula dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan disambung dari jam 2 petang hingga jam 4 petang. Bilangan pelajar Melayu pada masa itu tidak ramai kerana kebanyakan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah Melayu atau sekolah agama. Walaupun bahasa pengantarnya ialah bahasa Inggeris, bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Melayu, Bahasa Portugis dan Bahasa Cina juga diajar.
Pada bulan Ogos 1878, kerajaan British mengambil alih pentadbiran sekolah tersebut daripada golongan paderi dan menamakannya Malacca High School atau Sekolah Tinggi Melaka. Pengetuanya yang baru ialah Encik A. Armstrong. Pada tahun 1931, Sekolah Tinggi Melaka berpindah ke tapak barunya di Jalan Chan Koon Cheng hingga sekarang.
Bangunan itu kini menempatkan Muzium Sejarah dan Etnografi, Galeri Laksamana Cheng Ho, Muzium Sastera, Muzium Pemerintahan Demokrasi, dan Muzium Yang Di-Pertua Negeri. Paparan harian muzium ini ialah pakaian pengantin tradisional dan artifak dari zaman kegemilangan Melaka.[1]

Haa..yang ini sure ramai tahu.. A Famosa,

Kota A Famosa (bermaksud "Yang Termashur" dalam bahasa Portugis) telah dibina oleh Portugis sebaik sahaja berjaya menawan Melaka pada tahun 1511. A Famosa terletak di Bandar Hilir, Melaka bersebelahan replika Istana Kesultanan Melaka dan Gereja St. Paul. Ia merupakan seni bina Eropah tertua yang masih tinggal di Asia.
Nama A Famosa seringkali disalah sebut sebagai /ei/ Famosa, termasuklah oleh orang Malaysia, seolah-olah kata penentu "a" dalam bahasa Portugis dianggap sebagai huruf "A" dalam abjad Inggeris. Sebutan yang lebih tepat ialah /ɑ/ Famosa.

A Famosa merupakan nama kubu yang dibina oleh orang Portugis selepas menakluk Melaka pada 1511. Sebaik sahaja mereka menawan Melaka, Portugis menggunakan buruh paksa untuk membina kubu sementara bagi menangkis serangan orang-orang Melayu, sementara mereka membina kubu utama yang digelar "A Famosa", atau secara rasminya Kubu Melaka (Fortaleza de Malaca). Kota A Famosa mengambil masa selama 5 bulan untuk di bina. Akibat suhu panas terik dan kekurangan makanan, ramai buruh paksa yang mati ketika membina kota tersebut. Bahan bagi membina kota tersebut diambil dari runtuhan masjid dan bangunan lain.

Istana Kesultanan Melaka ini merupakan sebuah replika Istana Sultan Mansur Shah yang memerintah Melaka dari 1456 hingga 1477. Muzium ini dibuka secara rasminya pada 17 Julai 1986.
Kini, muzium ini mempunyai lebih kurang 1,350 item dalam bentuk artifak, cetakan, gambar dan lukisan yang mewakili sejarah dan budaya Kesultanan Melayu Melaka dan masyarakatnya yang menetap di Melaka pada tempoh tersebut.
Bangunan tiga tingkat ini dibahagikan kepada lapan bilik dan tiga galeri termasuk bilik pancaragam Diraja, senjata, seni perhiasan, hadiah, dewan rekreasi, balairung seri dan dewan Islam. Galeri-galeri pula menonjolkan pertempuran Hang Tuah dan Hang Jebat, pakaian tradisional dan kamar diraja. Di antara barang pameran di sini termasuk cetakan dan gambar Kesultanan Melaka, model Istana Sultan Mansur Shah, senjata Melayu, pakaian perkahwinan tradisional Melayu, barangan kemas dan barangan loyang.
jom layan gambar-gambar yang telah saya rakamkan

 



Jonker Street


SETIAP rumah kedai sepanjang Jonker Walk di tengah Melaka mempunyai kisah unik dan sejarah tersendiri. Per hatikan saja hiasan luar bangunan – dari bingkai, ukiran dan bentuk jendela, jarak dan saiz pintu – semuanya menceritakan zaman penjajahan Barat di Tanah Melayu.
Pengaruh dan gaya seni bina ini mencerminkan interaksi budaya ketika era itu sehingga mewujudkan sub budaya ‘Peranakan’ atau ‘Baba Nyonya’ dan Serani.
Mengunjungi Jonker Walk hari ini bukan sekadar me nyelongkar perabot antik, sebaliknya menyusuri sejarah lampau kota yang pernah menjadi pelabuhan antarabangsa dan rebutan kuasa Eropah.
Sauh besar yang melekat di bahagian luar deretan rumah kedai ini menjadi bukti kuasa Belanda di negeri ini. Manakala, jarak dan saiz tingkap yang berbeza menunjukkan pengaruh Portugis dan Inggeris.
Jonker Walk adalah laluan pejalan kaki kira-kira 400 meter (m) meliputi Jalan Hang Jebat (dulu dikenali Jonker Street) dan Jalan Tun Tan Cheng Lock (nama asalnya Heeren Street).
Deretan rumah kedai ini menempatkan restoran, pub, rumah tumpangan, galeri lukisan, kedai perabot antik, gerai kraftangan dengan mengekal keaslian reka bentuk.
Jika rajin menjelajah, pengunjung bakal bertemu kedai menjual terompah buatan tangan, seni yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi lain.
Ia antara cenderamata utama yang dicari pelancong di Jonker Walk.
Puas menyusuri kedai cenderamata, pengunjung boleh menghilangkan dahaga dengan menikmati cendol Melaka. Gerai cendol dan laksa nyonya terletak berhampiran Hereen Guest House atau Jonker Dessert.
Kebanyakan restoran di sini mengekalkan nostalgia zaman kegemilangan Melaka menerusi dekorasi kayu gelap, jubin kusam, pintu gelongsor ala Kopitiam dan seterika arang. Suasana ini menjadi tarikan utama Jonker Walk.
Jika anda pertama kali berkunjung ke Melaka, jangan lupa singgah ke kedai menjual kuih dan rempah ratus milik pengusaha berketurunan Baba Nyonya. Namakan apa saja – dari dodol sehingga gula Melaka – semuanya ada dijual.
Untuk penggemar koleksi antik atau barangan lama, anda boleh mendapatkan perabot lama, pemain piring hitam dan kipas meja yang lazimnya hanya disaksikan dalam filem Melayu hitam putih.
Pendek kata, pengunjung tidak akan pulang dengan tangan kosong apabila berkunjung ke Jonker Walk.







 Makam Hang Kasturi